Malay Synopsis
Akil dan Rossa pasangan suami isteri yang berkahwin muda. Hampir 5 tahun berumah-tangga namun mereka tidak dianugerahkan cahaya mata. Akil bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran tempatan manakala Rossa bekerja di sebuah kelab malam. Akil seorang suami yang bertanggungjawab dan selalu menasihati isterinya untukmenjadi seorang isteri yang patuh pada suami. Namun oleh kerana sifat kemanjaan dan banggadiri Rossa, dia sering bergaduh dengan Akil.
Akhirnya, Akil dan Rossa dianugerahkan cahaya mata sulung mereka yang diberinama Mia. Rossa mula menjadi seorang ibu yang penyayang dan taat pada kata-kata Akil. Kebahagian yang dirasa mula hilang serinya apabila Rossa dan Akil dikejutkan dengan satu berita yang amat memilukan iaitu Mia disahkan menghidap penyakit autism disorder kerana demam panas.
Rossa mula rasa rimas dan malu dengan Mia. Sedikit demi sedikit, Rossa berubah apabila dia mula mendapat tawaran menjadi seorang model oleh kekasih gelapnya dan mengambil keputusan untuk meninggalkan Akil dan Mia demi mengejar kemewahan dan popularity.
Akil membesarkan Mia dengan penuh kasih sayang. Bekerja makan gaji dan manjaga Mia yang menghidap penyakit autism disorder itu bukan mudah baginya namun dia terus menjaga Mia sehingga usia Mia kini 18 tahun. Oleh kerana penyakitnya itu, Mia tidak bersekolah langsung. Dia cuma menghabiskan masa di rumah, di tempat kerja Akil dan sibuk membuat sebuah basikal. Oleh kerana dia lain dari yang lain, Mia tidak mempunyai kawan selain dari Aiman yang juga adalah jirannya berusia 13 tahun. Aiman adalah seorang kanak-kanak yang menghidap syndrome down.
Mia banyak menghabiskan masa menceritakan rutin hariannya kepada Aiman. Mereka menjadi sahabat yang baik. Pada suatu hari Akil melarang Mia berjumpa dengan Aiman.Pada hari tersebut, Akil mencuba sedaya upaya untuk memberitahu Aiman telah pindah ke luar negara. Oleh kerana perasaan was-was Mia, Mia menjadi agrasif dengan Akil. Mia merasakan Aiman telah pergi tinggalkannya. Akil pula berusaha menenangkan Mia kerana buat pertama kalinya, Mia bertindak keras dan degil. Aiman yang demam panas, telah pergi buat selama-lamanya sebelum sempat dia menerima hadiah basikal daripada Mia.
Kejadian pada malam raya itu telah menyebabkan Akil merasa sungguh kesunyian dan merindui Rossa. Dia mahu keluarganya bersatu kembali. Pagi raya, sedang Akil termenung memikirkan semua peristiwa yang berlaku, susah payahnya membesarkan Mia, tiba-tiba Rossa pulang. Rossa meminta ampun dan maaf kepada Akil. Akil merasa begitu sayu namun dia terima Rossa seadanya. Akil membawa Rossa kepada Mia yang sedang termenung sendiri. Rossa memeluk Mia dan meminta maaf kepada Mia. Mia termangu.
Salam di pagi raya daripada ibu Aiman yang dating menziarahi telah mengejutkan Akil dari lamunannya. Air mata yang bergenang disapu perlahan. Akil memandang Mia yang membisu dan sepi. Akil tahu, Mia masih sedih dengan ketiadaan Aiman. Jauh di sudut hati, Akil berdoa agar pagi raya yang mendatang, aka nada sinar kegembiraan untuk dia dan Mia.