Malay Synopsis
Miss You seorang pensyarah perempuan yang bertubuh sedikit gempal dan berwajah tidaklah secantik Miss Dina. Namun begitu, para pelajar di kolej itu lebih suka dengan gaya Miss You berbanding Miss Dina. Miss You lebih memahami pelajar-pelajarnya dengan mengambil pendekatan yang mesra kepada pelajar-pelajarnya. Berbanding dengan Miss Dina, dia hanya suka melaram daripada mengajar. Pelajar-pelajar di kolej suka mengenakan Miss Dina dengan membuat pelbagai perkara hingga membuatkan Miss Dina jadi marah. Namun, Miss Dina sebenarnya cemburu dengan Miss You yang sering menjadi pujaan pelajar-pelajar di situ. walaupun dia tidak secantik Miss Dina namun, Miss You disukai ramai.
Suatu hari, Miss Dina ingin mengenakan Miss You yang sedang membuat persiapan mengajar di perpustakaan. Tiba-tiba seekor cicak jatuh ke tangannya menyebabkan dia menjerit sekuat hati. Miss You terkejut lihat tiba-tiba Miss Dina berada di situ. dia cuba menolong tapi dia pula dimarahi Miss Dina. Miss Dina kemudiannya berlalu dari situ.
Pelbagai cara dibuat Miss Dina untuk mengenakan Miss You namun tidak pernah menjadi. Miss Dina semakin hari semakin benci dengan miss You. Namun Miss You cuba berbaik dengannya walaupun sedar Miss Dina tidak menyukai dirinya.
Suatu hari, ketika Miss Dina sedang berjalan pulang ke rumah, dia diganggu budak-budak nakal yang menunggang motorsikal. Miss Dina cuba melarikan diri namun tidak berjaya. Tiba-tiba Miss You lalu ke kawasan tersebut. Dia mula membuka langkah dan berkarate. Kesemua budak-budak motor itu lari meninggalkan mereka. Miss Dina mengucapkan terima kasih kepada Miss You dan meminta maaf kerana terlalu cemburu dengan Miss You selama ini.