Malay Synopsis
PERMULAAN CERITA
Percintaan antara Karim dan Suzana terputus sewaktu muda dahulu gara-gara tidak mendapat restu orang tua. Suzana menerima pinangan Azam seorang guru yang datang mengajar di kampungnya.
25 tahun kemudian, semuanya sudah besar. Karim masih ada di kampungnya dan bekerja sebagai penjual air tebu di tepi jalan. Karim juga menjalankan tugas menggali kubur. Suzana dan suaminya Azam kembali pulang ke kampung untuk berniaga setelah Azam tamat pencen sebagai guru. Suzana masih berhubungan baik dengan Karim atas dasar kawan. Dia juga kerap membeli air tebu Karim.
PERTENGAHAN CERITA
Ini menimbulkan kurang senang di hati Azam. Timbul perasaan cemburu menghantui dirinya. Perasaan cemburu itu beriringan dengan perasaan dengki. Dia memarahi Suzana tanpa sebab kukuh.
Malah, Azam cuba mengugut Karim agar tidak mengganggu isterinya. Sedangkan Karim tidakpun berniat begitu. Dia melayan Suzana sebagai kawan lama dan pelanggan yang membeli air tebunya. Azam mula menabur fitnah kepada Karim.
Suatu hari, Azam telah memusnahkan peralatan mesin tebu Karim dengan tujuan sebagai balasan kepada Karim yang kononnya mengganggu isterinya. Azam juga telah menyuruh orang suruhannya melanggar Karim dengan kereta hingga menyebabkan Karim cedera dan kaki sebelahnya dipotong karim pasrah dengan kejadian yang menimpanya.
PENGAKHIRAN CERITA
Azam akhirnya mengalami penyakit yang ganjil dan di bawa ke hospital. Di sana, penyakitnya sukar diubati. Dia memohon maaf kepada Karim atas perbuatannya dahulu. Selepas Karim memaafkan Azam, Azam meninggal dunia dengan tenang.